UCAPAN PENGURUS SEKOLAH

Assalamualaikum w.b.t, Salam sejahtera dan Salam 1 Malaysia,

      Selamat datang ke Blog Sekolah Pemasaran, Kolej Pertanian Malaysia. Penubuhan blog ini adalah bertujuan untuk memberi maklumat berkaitan aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan sepanjang tahun di Sekolah Pemasaran di samping dijadikan sumber rujukan kepada pelatih-pelatih di dalam bidang ini.
Seperti yang kita sedia maklum bahawa Sekolah Pemasaran adalah dibawah kelolaan dan bimbingan dari FAMA (Federal Agricultural Marketing Authority) yang merupakan sebuah agensi pemasaran yang ditubuhkan di bawah Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani Malaysia.Tenaga-tenaga pengajar yang dipilih adalah dikalangan yang berkualiti dan berpengalaman luas dalam bidang pemasaran.
Sekolah Pemasaran Kolej Pertanian Malaysia ,kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyediakan program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) iaitu Latihan Berasaskan Kompetensi Kemahiran (Competency Based Skill Training) dalam bidang pemasaran.Program yang berasaskan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) ini merupakan salah satu program terpenting yang dibangunkan Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC),Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani Malaysia bagi mewujudkan tenaga mahir berlatarbelakangkan pemasaran yang kompeten,berkeupayaan tinggi dan sedia berkhidmat.Program latihan yang dibangunkan disini juga bertujuan meningkatkan minat dan kompetensi generasi muda yang ingin mencebur diri dalam bidang keusahawanan dan perniagaantani.Adalah diharapkan ianya dapat meningkatkan kualiti dan produktiviti selaras dengan matlamat Dasar Pertanian Negara.
 Menyedari peluang dan potensi untuk membangunkan usahawan-usahawan tani muda yang berdaya saing serta berani untuk menjadi usahawan, pihak NATC melalui Sekolah pemasaran Kolej Pertanian Malaysia serta Agropreneur Muda diwujudkan untuk membimbing serta melatih pelatih-pelatih terlibat didalam dunia keusahawanan. Usaha untuk mentransformasikan minda kearah keusahawanan merupakan satu cabaran yang amat besar memandangkan ia bukan sahaja melibatkan perubahan gaya pelaksanaan aktiviti daripada pendekatan tradisional kepada pengaplikasian teknologi terkini, malahan ia turut memerlukan anjakan minda masyarakat untuk meninggalkan stigma lama bahawa pertanian merupakan aktiviti yang mundur dan berkemahiran rendah.
      Perubahan gaya dan minda sedia ada ini hanya akan berlaku apabila masyarakat berupaya mendapat maklumat dan informasi yang tepat mengenai kepentingan dan potensi sebenar bidang pemasaran yang mana merupakan aspek yang terpenting di dalam rantaian perniagaan. Menyedari hakikat ini, kami berharap masyarakat dapat memperoleh maklumat mengenai pembelajaran di dalam bidang pemasaran pertanian supaya segala ilmu yang diperolehi dapat diaplikasikan di dalam perniagaan mereka sendiri nanti.
      Adalah menjadi harapan Sekolah Pemasaran agar laman blog ini menjadi salah satu sumber rujukan dan wadah utama dalam penyebaran maklumat serta informasi sektor Agro-Makanan kepada pihak berkepentingan dan mereka yang berminat.
      Akhir kata, semoga blog ini dapat memberi manfaat kepada kita bersama, terutama dalam mengangkat martabat sektor Agro-Makanan dalam pembangunan negara.

Sekian terima Kasih.

Hamzah Abdul Matheen
Pengurus Sekolah Pemasaran
Kolej Pertanian Malaysia